Band website builder
Quantcast

Sunday, August 8, 2010

Petikan Berita Harian 18 Julai 2010

Hazami fobia tengok pacat
Oleh Zaidi Mohamad

Penyanyi bergelar guru vokal sanggup belanja RM80,000 untuk album terbaru

SUBJEKNYA ialah alam semula jadi. Hubung kaitnya pula kerana ia simbolik kepada karya seninya yang terus ingin dipertahan, dipelihara dan harapnya terus tersergam indah biar apa jua datang menggugat. Demikian serba sedikit pengenalan mengenai apa tersirat dalam hati Hazami.

Lumrah bergelar anak seni, penyanyi bernama penuh Norkamal Hazami Ahmad ini pernah melalui fasa turun naik dalam kerjaya antaranya apabila lagu yang dihasilkan tidak mendapat perhatian untuk dimainkan di stesen radio. Sebagai contoh, apa yang terjadi menerusi album Inggeris sulungnya, Yang Pertama|Running. Apa pun terjadi, guru vokal dan pemilik syarikat Hazami Records ini tegar meneruskan legasi seninya. Ketika ada pihak mengandaikan dia merajuk, rezeki datang menerjah apabila awal tahun lalu, album Inggeris beliau melayakkannya memenangi trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) pada majlis Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17).

Berbicara kembali mengenai topik alam semula jadi tadi, ia semuanya berbalik kepada perkembangan terbaru album keenamnya yang diberi judul Petikan Sedekad Hazami. B*Pop berkesempatan ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor, baru-baru ini untuk melihat di sebalik pembikinan rakaman fotografi kulit album terbarunya itu.

Boleh dikatakan seharian Hazami berada di sana menikmati kehijauan alam. Penyanyi berusia 35 tahun itu tidak keseorangan sebaliknya ditemani jurugambar yang dilantik merakamkan momen indah buat diabadikan di dalam albumnya yang dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti. Bukan saja bersama jurugambar, malah penyanyi yang muncul dengan album perdananya, Tekad, Redha, Tabah pada 2003 itu turut bertemankan ‘penghuni setia’ FRIM seperti unggas dan pacat. Malah gara-gara takutkan pacat, fotografi sedikit terganggu dan disusuli teriakannya.

“Saya memang sedikit fobia dengan pacat,” selorohnya pada awal bicara sambil ketawa sendirian mengenangkan peristiwa pacat menghisap darahnya itu.
Dengan pantas dia ingin melupakan kisah pacat itu seraya mengalih topik, album keenamnya itu tidak dilabelkan sebagai kompilasi sekalipun memuatkan lima lagu lama dendangannya - Tekad, Tabah, Ku Cinta Padamu, Mungkir Bahagia dan Kata Cinta Mada Dusta.

“Saya lebih suka menamakannya sebagai album hadiah kepada peminat. Turut dimuatkan ialah sebuah lagu baru Andai Bisa Kau Rasa dan dua versi koir untuk lagu Tekad dan Kata Cinta Madah Dusta. Setiap lagu yang dimuatkan disusun seperti orkestra yang diiringi instrumen seperti biola, cello dan kontra bes.

“Album ini juga memperlihatkan diri saya bukan sekadar penyanyi sebaliknya sebagai komposer. Saya mula menulis lagu sejak 1999 dan hanya pada 2002 saya memberanikan diri menunjukkan bakat sebagai penyanyi. Ikutkan saya menyanyi baru saja lapan tahun,” katanya mengenai album sedekad pelayaran hidupnya sebagai anak seni yang akan diedarkan Sony Music itu.

Ditanya mengenai lagu baru, Andai Bisa Kau Rasa, Hazami memberitahu, sepatutnya lagu itu pada mulanya dinyanyikan Juara Akademi Fantasia musim keempat, Faizal. Namun selepas apa dirancang tak menjadi, Hazami sendiri merelakan dirinya menyanyikan lagu itu.

“Sebahagian bait lirik lagu itu saya tulis memang kena dengan Faizal dan secara kebetulan ia juga berkaitan apa yang saya lalui. Jadi saya tak teragak-agak menyanyikannya. Ia boleh saya katakan seperti lagu Tekad tapi dalam versi lebih Melayu. Tekad disifatkan lebih kebaratan,” katanya sambil memberitahu kos keseluruhan menghasilkan buah tangan terbarunya itu sekitar RM80,000 termasuk kos promosi.

Selain terbabit dengan produksi album ini, Hazami juga turut mempamerkan bakatnya dalam bahagian penyuntingan membabitkan hal grafik untuk kulit albumnya itu. Akui Hazami, dia melakukan perkara terbabit untuk semua albumnya terdahulu.

“Saya pernah mempelajari bidang grafik selama tiga tahun ketika menuntut Ijazah Kejuruteraan Rekacipta di London pada 1995 hingga 1999, jadi saya rasa tak rugi jika ilmu dan pengetahuan itu dimanfaat untuk kebaikan sendiri,” katanya.
www.tips-fb.com

1 comment: